Pages

FAQ eWALLET50 | SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ) PROGRAM KREDIT ePENJANA BERNILAI RM50

SOALAN-SOALAN LAZIM (FAQ) PROGRAM KREDIT ePENJANA BERNILAI RM50. KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

1. Apakah inisiatif ePENJANA?

Program ePENJANA adalah satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang bertujuan untuk menggalakkan perbelanjaan pengguna.

Ia juga bertujuan untuk menggalakkan amalan keselamatan melalui pembayaran tanpa sentuh dan membantu pihak kesihatan awam menjalankan pengesanan kontak rapat untuk mengawasi penularan COVID-19 melalui penggunaan aplikasi MySejahtera.

Dianggarkan 15 juta rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada program ini di mana Kerajaan akan mengkreditkan ePENJANA bernilai RM50 yang boleh digunakan bagi pembelian melalui penyedia perkhidmatan e-Dompet yang terpilih iaitu Boost, GrabPay dan Touch n’ Go e-Wallet.
 

Pada masa yang sama, penyedia perkhidmatan e-Dompet yang mengambil bahagian akan turut menawarkan inisiatif tambahan bernilai RM50 dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback) dan mata ganjaran (rewards points).

2. Siapakah yang layak menerima ePENJANA ini?

Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:
(a) Warganegara Malaysia;
(b) Berumur 18 tahun dan ke atas pada atau setakat 31 Disember 2020;
(c) Berpendapatan kurang dari RM100,000 setahun berdasarkan rekod terkini LHDN; dan
(d) Telah memuat turun dan berdaftar sebagai pengguna aplikasi MySejahtera.
Setelah permohonan dibuat, anda akan menerima notifikasi tentang status permohonan daripada e-Dompet pilihan anda.
 
3. Bilakah program ini akan bermula dan bilakah ia akan berakhir? Bagaimana kredit ePENJANA dan insentif e-Dompet akan dikreditkan? Adakah kredit ePENJANA dan insentif e-Dompet mempunyai tarikh luput?

Kredit ePENJANA boleh dipohon mulai jam 8.00 pagi pada 31 Julai 2020 sehingga 11.59 malam pada 24 September 2020.

Setelah dipohon, kredit ePENJANA mesti digunakan sebelum jam 11.59 malam pada 30 September 2020. Selepas tarikh akhir ini, baki kredit ePENJANA yang tidak digunakan akan luput secara automatik dari e-Dompet pemohon.

Anda berhak mendapat kredit ePENJANA bernilai RM50 sekali sahaja melalui satu sahaja e-Dompet pilihan anda sepanjang program ini. Setelah anda menerima kredit ePENJANA dari satu e-Dompet, sebarang percubaan untuk menuntut kredit ePENJANA tambahan dari e-Dompet yang lain akan ditolak oleh sistem.

Sekiranya anda memenuhi kriteria kelayakan (termasuk mendaftar di MySejahtera) dan telah disahkan di bawah proses electronic Know-Your-Customer (eKYC), kredit ePENJANA RM50 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) akan dikreditkan ke dalam e-Dompet pilihan anda dalam tempoh lima hari dari tarikh permohonan.
 
Insentif tambahan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan e-Dompet masing-masing bergantung kepada terma-terma dan syarat-syarat mereka. Sila rujuk kepada pengumuman dari penyedia perkhidmatan e- Dompet masing-masing untuk maklumat lebih lanjut, termasuk tarikh luput bagi insentif tambahan.

Kredit ePENJANA dari sesebuah e-Dompet tidak boleh dipindahmilik ke akaun e-Dompet lain atau ditebus secara tunai.



4. Mengapa tiga e-Dompet ini dipilih untuk inisiatif ePENJANA?

Boost, GrabPay dan Touch n’ Go eWallet mewakili sebahagian besar pasaran e-Duit dengan jumlah pengguna aktif seramai 21 juta orang dan jumlah rangkaian merangkumi lebih dari 400,000 peruncit di seluruh negara.

Ini merupakan sebuah platform yang siap tersedia untuk melancarkan ePENJANA dengan pantas, bagi memanfaatkan seramai mungkin Rakyat dan juga memberi keselesaan dalam kredit ePENJANA untuk pilihan barangan dan perkhidmatan yang meluas.
 
Anda boleh menggunakan RM50 ePENJANA untuk sebarang transaksi yang boleh dibayar melalui e-Dompet pilihan anda.


5. Bagaimana saya boleh memohon kredit ePENJANA?

Anda perlu memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan memohon RM50 kredit ePENJANA melalui penyedia perkhidmatan e-Dompet pilihan anda.

Aplikasi MySejahtera

Langkah 1: Muat turun applikasi MySejahtera dari Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple App Store, Google Play atau Galeri Aplikasi Huawei.

Langkah 2: Sila masukkan maklumat peribadi (nama penuh seperti yang tertera pada NRIC Malaysia/Kod Ketenteraan Malaysia/Kod Polis Diraja Malaysia). Bagi pengguna sedia ada, sila kemaskini maklumat peribadi anda (nama penuh seperti yang tertera pada NRIC Malaysia/Kod Ketenteraan Malaysia/Kod Polis Diraja Malaysia).

Langkah 3: Teruskan memohon inisiatif ePENJANA melalui e- Dompet pilhan anda.
 
Aplikasi e-Dompet:

Proses pengesahan pengguna baru dan sedia ada akan diteruskan melalui aplikasi e-Dompet.

Langkah 1: Muat turun aplikasi e-Dompet oleh penyedia perkhidmatan e-Dompet yang turut serta dalam program ini dari Apple App Store, Google Play atau Galeri Aplikasi Huawei.

Langkah 2: Daftar sebagai pengguna baharu atau untuk pengguna semasa, ikuti arahan yang ditunjukkan dalam aplikasi e-Dompet.

Langkah 3: Penyedia perkhidmatan e-Dompet akan mengesahkan identiti anda secara elektronik (electronic Know Your Customer atau eKYC).

Langkah 4: Klik “tebus kredit RM50” di e-Dompet. Pengesahan identiti akan diteruskan untuk mengesahkan NRIC, kelayakan pendapatan, sama ada anda telah berdaftar dengani MySejahtera dan sekiranya anda telah melakukan tuntutan ePENJANA anda dari e-Dompet lain.
 
6. Mengapa permohonan saya tidak berjaya atau lambat diluluskan?

Berikut adalah antara sebab-sebab permohonan anda tidak berjaya:
(a) Anda tidak menepati syarat-syarat kelayakan.
(b) Anda tidak mengemukakan maklumat yang lengkap.

Mengambil kira trafik permohonan yang tinggi, kemungkinan terdapat kelewatan dalam mendapatkan kredit ePENJANA RM50 anda. Sebarang pertanyaan / kemusykilan mengenai kredit ePENJANA melalui e-Dompet pilihan anda, sila hubungi:
(a) Boost
- Telefon: +603-2260 9494
- E-mel: support@myboost.com.my

(b) GrabPay
- Telefon: +603-2788 1300
- E-mel: epenjana@grab.com
 

(c) Touch ‘n Go e-Wallet
- Telefon: +603-5022 3888

- E-mel: tngewalletcs@tngdigital.com.my


7. Adakah terdapat proses rayuan atau pertikaian (‘dispute’)?

Ya. Sebarang rayuan dan pertikaian boleh dikemukakan selewat-lewatnya pada 24 September 2020 kepada penyedia perkhidmatan seperti maklumat pada item 9 di atas.


8. Saya merupakan peruncit luar talian – perlukan saya mendaftarkan kedai saya untuk kod QR MySejahtera?

Ya. Semua peruncit adalah digalakkan untuk menggunakan MySejahtera  Check-In  untuk  mendaftar  dan menguruskan kemasukan pengunjung ke premis mereka secara sistematik dan teratur.

Untuk mendaftar, pemilik premis harus mengikuti langkah berikut:
 
Langkah 1: Daftar premis anda di https://mysejahtera.malaysia.gov.my/checkin/

Langkah 2: Masukkan nombor telefon mudah alih anda atau e-mel dan klik “Daftar”.

Langkah 3: Anda akan menerima One-Time-Pin (OTP) melalui SMS (jika anda daftar melalui nombor telefon mudah alih) atau pautan pengesahan akan dihantar melalui e-mel (jika anda daftar melalui e-mel).

Langkah 4: Masukkan OTP dan klik ‘Hantar’ (jika anda daftar melalui nombor telefon mudah alih) atau pautan pengesahan akan dihantar melalui e-mel (jika anda daftar melalui e-mel).

Langkah 5: Isikan maklumat pendaftaran premis anda dan klik ‘Hantar’. Anda akan menerima mesej ‘Pendaftaran Berjaya’.

Langkah 6: Anda akan menerima kod unik MySejahtera untuk premis anda. Muat turun, cetak dan letakkan kod QR di pintu masuk premis anda untuk diimbas oleh pengunjung.
 
9. Bagaimana pihak anda melindungi maklumat peribadi saya, seperti umur dan pendapatan?

Data berkaitan akan disahkan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Data peribadi dari JPN atau LHDN TIDAK akan dikongsi dengan penyedia perkhidmatan e-Dompet.

Aplikasi MySejahtera dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Oleh yang demikian, mengemukakan maklumat palsu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

MySejahtera dimiliki dan dikendalikan oleh Kerajaan Malaysia. Ia ditadbir oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan sokongan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Maklumat peribadi anda hanya akan digunakan untuk tujuan mengurus dan mengurangkan  wabak  COVID-19.  Ia  tidak  akan  dikongsi dengan pihak lain.
 
Sebarang masalah privasi data yang berkaitan dengan e- Dompet adalah tertakluk kepada peruntukan undang- undang dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.


TAG 
Boost, Touch 'N Go EWallet, GrabPay, EPenjana
#ewallet50
#eWalletRM50 
#MySejahtera 
#MySejahteraApp 
#MySejahteraCHECKIN