KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR HAJI NASARAH,
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI
PENURUNAN SURCAJ 2 SEN/KWJ BAGI PENGGUNA BUKAN DOMESTIK, TARIF DOMESTIK KEKAL, DISKAUN BIL ELEKTRIK PENGGUNA DOMESTIK DILANJUTKAN
SEHINGGA 31 DISEMBER 2020
2 JULAI 2020
1. Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga pada 30 Jun 2020 yang memaklumkan bahawa pengguna bukan domestik akan menikmati penurunan surcaj sebanyak 2 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2020 manakala pengguna elektrik domestik kekal membayar kadar tarif sedia ada. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab dan peka dalam membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19, Kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sedia ada sehingga 31 Disember 2020 untuk semua pengguna domestik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
2. Dengan keputusan ini, seramai 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik di antara 2% hingga 50% dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020 sebagai lanjutan kepada diskaun elektrik yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 27 Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Pelanjutan ini turut terpakai bagi pengguna elektrik dengan penggunaan di antara 601 hingga 900kWj yang mula mendapat diskaun 10% di bawah Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang diumumkan oleh Kerajaan pada 20 Jun 2020.
3. Pengguna domestik di Sabah dan Sarawak pula akan terus menerima diskaun bil elektrik sebanyak 2% sehingga 31 Disember 2020 yang akan memanfaatkan sekitar 520,000 pengguna di Sabah dan 580,000 pengguna di Sarawak.
4. Pelanjutan diskaun selama 3 bulan bagi pengguna-pengguna di Semenanjung Malaysia akan dibiayai menggunakan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dengan anggaran sebanyak RM392 juta, manakala diskaun bagi Sabah dan Sarawak akan dibiayai oleh Kementerian Kewangan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM6 juta. Ini menjadikan kos keseluruhan pemberian diskaun bil elektrik dari April hingga Disember 2020 adalah berjumlah RM2.62 bilion.
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR HAJI NASARAH,
MENTERI TENAGA DAN SUMBER ASLI.
1 JULAI 2020